Sunday, May 30, 2010

Tema dan Persoalan Novel Istana Menanti

Tema
Tema novel Istana Menanti, karya Abd Latip Talib ini ialah semangat sekumpulan remaja yang peka akan sejarah tanah air dan ingin mengkaji kesahihan sejarah tersebut. Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy mewakili golongan remaja yang sangat minat akan subjek sejarah dan mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam tentang sejarah setempat. Mereka bertiga juga sanggup meredah hutan belukar untuk melihat sendiri kewujudan dan keunikan Istana Menanti di puncak Gunung Datuk.

Persoalan
(a) Kesedaran golongan muda tentang sejarah tanah air.
Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy sanggup meluangkan masa ke rumah Tuk Ngah kerana warga emas itu banyak mengetahui tentang sejarah setempat dan sejarah negara. Mereka berkongsi maklumat dan info sejarah dengan Tuk Ngah.
(b) Semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.
Masyarakat di Kampung Ulu Seperi, Rembau terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama. Mereka hidup bersatu padu dan saling membantu khususnya ketika mencari Fadhil dan rakan-rakannya yang hilang di Gunung Datuk.
(c) Kebijaksanaan pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman dahulu dalam mengatur strategi perang.
Pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu membina kediaman yang jauh di puncak bukit atau gunung agar terselamat daripada serangan musuh. Istana Menanti yang dibina di puncak gunung telah dijadikan tempat perkumpulan pendekar-pendekar Rembau dalam usaha mereka menentang penaklukan Portugis dan Inggeris. '
(d) Keunikan dan keistimewaan bangunan lama.
Istana Menanti terhasil daripada kehebatan orang-orang terdahulu. Meskipun tidak dibina berdasarkan teknologi moden, namun Istana Menanti tetap kukuh dan agam meskipun usianya dianggarkan sudah 500 tahun. Reka bentuk istana itu juga unik kerana atapnya melentik seperti tanduk kerbau. Istana ini mempunyai ukiran yang halus dan cantik. Luasnya pula dapat memuatkan sehingga 300 orang. Tiang istana berjumlah 40 batang juga masih kukuh kerana diperbuat _ daripada kayu keras.
(e) Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap perkara-perkara mistik.
Segelintir masyarakat Melayu yang digambarkan dalam novel ini percaya akan perkara-perkara mistik. Contohnya, penduduk setempat percaya bahawa Istana Menanti dihuni oleh makhluk bunian atau berpenunggu. Sebagai contoh, di dalam istana lama itu kononnya tersimpan alat-alat kebesaran raja Melayu zaman dahulu yang sangat berharga. Namun, barang-barang itu tidak boleh dibawa balik kerana kononnya ada makhluk halus yang menjaganya.
Selain itu, ada yang mendakwa bahawa Jeram Lubuk Petai juga dihuni oleh makhluk bunian. Oleh itu, sesiapa yang datang ke jeram itu haruslah berniat baik, tidak bermulut celupar, dan tidak melakukan maksiat. Jika tidak, mungkin ada kecelakaan yang akan menimpa. Sebagai contoh, ada yang mati lemas di dalam lubuk itu sebagai akibat keceluparan dan ada yang kononnya ternampak ular sebesar pokok kelapa muncul dari lubuk tersebut.
(f) Sikap segelintir individu yang tidak menghargai kemerdekaan dan derhaka terhadap negara. Dalam novel ini, Tuk Ngah bercerita tentang Dolah yang masuk ke dalam hutan untuk menyertai perjuangan komunis sebelum dilantik sebagai ketua ke-10, Parti Komunis Malaya. Pada tahun 1960, ancaman komunis dalam negara ditamatkan. Dolah dan banyak pemimpin Parti Komunis Malaya melarikan diri ke negara China. Selepas negara memberi pengampunan kepada bekas-bekas komunis ini, Dolah kembali ke Malaysia. Malangnya, pengampunan kerajaan ini telah disalahgunakan.

5 comments:

  1. thank you org pnya blog :)) at least x lah aq pning kpala mngingat novel form 1 ni . .

    ReplyDelete
  2. Ok terima kasih. Doakan saya utk trial esok dgn pmr yg tak lama lagi.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Cikgu Afif! :) Esok Pra PMR, doakan kami ya cikgu :)

    ReplyDelete