Sunday, May 30, 2010

Contoh Karangan Bahan Rangsangan

Tindakan ketika Menjalani Latihan Kebakaran di Sekolah

Rajah di atas menunjukkan tindakan yang perlu diambil oleh murid-murid ketika menjalani latihan kebakaran. Huraikan pendapat anda tentang latihan kebakaran di sekolah. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Rangka Karangan

Pendahuluan
  • kebakaran sebagai bencana yang menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa
Isi-isi Penting
  1. murid-murid perlu mematikan suis lampu dan suis kipas untuk mengelakkan litar pintas
  2. beratur di luar kelas sebelum menuju ke tapak perhimpunan dengan segera
  3. tujuan latihan kebakaran diadakan - murid-murid tidak mudah panik - menjaga keselamatan mereka
Penutup
  • semua murid perlu memberikan perhatian dan mengikuti latihan kebakaran dengan bersungguh-sungguh
Karangan Contoh

Kebakaran merupakan bencana yang boleh mendatangkan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa. kebakaran boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan tempat. Oleh itu, latihan kebakaran dilakukan sebagai persediaan jika menghadapi kebakaran.

Pelbagai tindakan perlu diambil oleh murid-murid sebaik sahaja mendengar bunyi loceng kecemasan di sekolah. Tindakan pertama, murid-murid perlu mematikan suis kipas dan suis lampu bagi mengelakkan litar pintas.

Kemudian, semua murid perlu terus beratur di luar kelas. Mereka tidak boleh bertolak-tolakan atau bergurau-senda, sebaliknya terus menuju ke tapak perhimpunan. Mereka hendaklah terus berada dalam kumpulan mengikut kelas masing-masing.

Latihan kebakaran diadakan supaya murid-murid tidak mudah panik apabila menghadapi kebakaran yang sebenar di sekolah. Selain itu, latihan tersebut turut memastikan keselamatan murid-murid sentiasa terjamin sepanjang berada di sekolah. Hal ini demikian kerana semua murid perlu diberikan pendedahan dan dilatih tentang cara-cara untuk menyelamatkan diri dalam situasi kecemasan.

Kesimpulannya, semua murid sewajarnya memberikan perhatian dan bersungguh-sungguh mengikuti latihan kebakaran dan arahan yang dikeluarkan demi keselamatan mereka.

No comments:

Post a Comment