Monday, September 3, 2012

Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiah


Syair  Wasiat  Ayahanda  Siti  Zawiah


Ada kepada suatu hari,
Sakit saudagar laki isteri,
Adalah kiranya tujuh hari,
Tidak bergerak kanan dan kiri.

Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Katanya wahai cahaya mataku,
Tinggallah tuan buah hatiku,
Hampirlah mati gerangan aku,
Baiklah tuan tingkah dan laku.

Serta harta aku tinggalkan,
Tuan seorang yang menyukakan,
Sampai habis semua diterimakan,
Faedahnya akan diberikan.

Jikalau tidak anakku berakal
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Kerana harta tiada berguna,
Jikalau tidak akan sempurna,
Sekalian itu habislah hana,
Hanya tinggal badan merana.

Budi dan bahasa janganlah lupa,
Muliakan olehmu ibu dan bapa,
Mana yang datang padamu berjumpa,
Janganlah lambat tuan menyapa.

 Kerana adat orang berbeza,
Tiada memandang harta dan benda,
Tegur dan sapa itu yang ada,
Itulah penambah di dalamnya dada.

Maksud Syair:

Rangkap 1: Saudagar dan isterinya sudah seminggu sakit dan tidak ke mana-mana.
Rangkap 2: Saudagar merasakan ajalnya hampir tiba, lalu memanggil dan mencium kepala anaknya.
Rangkap 3: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya menjaga tingkah laku.
Rangkap 4: Saudagar mewasiatkan seluruh hartanya kepada anaknya.
Rangkap 5: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya mengurus hartanya dengan bijak.
Rangkap 6: Jika harta tersebut tidak diurus dengan baik, ia kelak akan menimbulkan kesusahan.
Rangkap 7: saudagar berpesan kepada anaknya supaya berbudi bahasa dan memuliakan ibu bapa serta bersikap mesra terhadap orang lain.
Rangkap 8: Tingkah laku yang baik dan mesra adalah jauh lebih berharga berbanding harta.

Syair ini mengemukakan tema nasihat dan kata-kata terakhir seorang ayah kepada anaknya. Antara persoalan yang dimuatkan dalam syair ini ialah kesedihan ketika diambang maut, kasih sayang bapa kepada anaknya, kepentingan menghormati ibu bapa, kepentingan mengurus harta peninggalan dengan bijaksana dan kepentingan amalan budi bahasa sesama insan.


Monday, August 13, 2012

KOLEKSI PANTUN ANTOLOGI KASUT KELOPAK JANTUNG


PANTUN DUA KERAT (NASIHAT)

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Pecah kaca pecah gelas,
Sudah dibaca harap balas.

Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.

Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.

Saya kata itik, awak kata ayam,
Sudah kena jentik baru nak diam.


PANTUN EMPAT KERAT (AGAMA)

Kemumu di dalam semak,
Jatuh melayang selaranya;
Meski ilmu setinggi tegak,
Tidak sembahyang apa gunanya.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam riang-riang;
Menangis di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Kemumu di tengah pekan,
Dihembus angin jatuh ke bawah;
Ilmu yang tidak diamalkan,
Bagai pohon tidak berbuah.

Banyaklah bulan antara bulan,
Tidak semulia bulan puasa;
Banyaklah tuan serupa tuan,
Tidak semulia Tuhan Yang Esa.

Bendahara Datuk Seri Paduka,
Memerintah kota dan negeri;
Sengsara masuk dalam neraka,
Hendaklah kita ingatkan diri.

Pohon di kebun habis berbuah,
Disambut masak buah rembega;
Mohonkan ampun dosa yang sudah,
Hendak masuk dalam syurga.

PANTUN EMPAT KERAT (TEKA-TEKI)

Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah Selat Melaka;
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka?

Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan;
Cubalah cari wahai saudara,
Makin diisi makin ringan.

Hari-hari ke rumah Cik Hitam,
Melihat orang memotong tebu;
Apa binatang darahnya hitam,
Janggut delapan tulangnya satu?

Ambil betik potongkan pisau,
Buah masak pokoknya rendah;
Kecil-kecil berbaju hijau,
Sudah besar berbaju merah.

Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga si pucuk rebung;
Kalau tuan bijak bestari,
Apa dia tanduk di hidung?


PANTUN EMPAT KERAT
(BERJIMAT CERMAT)

Pergi belukar memasang pikat,
Pulangnya lewat di hujung petang;
Jikalau sentiasa berjimat cermat,
Rezeki secupak terasa segantang.

Indah pemandangan dunia,
Dari timur hingga selatan;
Sikap berjimat amalan mulia,
Orang boros sahabat syaitan.

Masak meranum buah ara,
Jatuh sebiji di atas papan;
Jika berjimat setiap perkara,
Pasti terjamin masa depan.

Sungguh pahit buah peria,
Dimakan juga dibuat sayuran;
Membesar belanja sikap sesia,
Hanya menambah beban kewangan.

Singgah berehat di Kota Lama,
Kuih dijamah air dihirup;
Berjimat cermat suruhan agama,
Jika diamal sejahteralah hidup.

Inderagiri pasirnya lumat,
Tempat berkelah putera raja;
Baik sedikit tetapi berjimat,
Daripada banyak membazir sahaja.

Turun ke ladang memetik kacang,
Hendak dibuat masak lemak;
Segala urusan jika terancang,
Sikap membazir pasti terelak.


PANTUN DUA KERAT

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Mengaku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Mentimun bongkok di balik tiang,
Ayam berkokok alamat nak siang.

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Dahulu parang sekarang besi,
Dahulu sayang sekarang benci.

Tokok takal muka pintu,
Orang nakal memang begitu.

Keli masuk ruan keluar,
Matahari masuk bulan keluar.

Duduk inding enggang tap,
Senduk di dinding, panggang di atap.

Secupak padi, setahil berangan,
Tersepak kaki, terkehel tangan.

Kapal belayar dalam semak,
Perut lapar semua lemak.


PANTUN BUDI

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi sedikit rasa nak junjung.

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Tanam serai tanam halia,
Tanam juga pokok sengkuang;
Orang berbudi disanjung mulia,
Ke mana pergi tiada terbuang.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.




PANTUN KANAK-KANAK

Jangan gergaji pokok talas,
Nanti lesung dimakan pahat;
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa,
Ajaran guru hendaklah dicari,
Apa yang dapat jangan dilupa.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pokok kelapa;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara ibu bapa.




PANTUN PERPISAHAN

Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.

Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Hari mana bulan yang mana,
Dapat kita bertemu lagi.

Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya.

Batang selasih permainan budak,
Berdaun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.

Orang Aceh sedang sembahyang,
Hari Jumaat tegah hari;
Pergilah kasih pergilah sayang,
Pandai-pandai menjaga diri.

Mana Manggung mana Periaman,
Mana batu kiliran taji;
Tinggal kampUng tinggal halaman,
Tinggal tepian tempat mandi.

Bintang Barat terbit petang,
Bintang Timur terbit pagi;
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi.


PANTUN JOGET PAHANG

Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah di Johor beli barangan;
Kami mengucap selamat datang,
Apa yang kurang dikeji jangan.

Negeri Pahang aman sentosa,
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan;
Niat di hati nak buat jasa,
Mudah-mudahan Tuhan kabulkan.

Pukul gendang kulit kerbau,
Dalam majlis tari-menari;
Kami ini daganglah merantau,
Mengharap belas orang di sini.


PANTUN TEKA-TEKI

Ikan selar dalam kuali,
Kuali diletak celah dapur;
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Tanam pisang sulung tahun,
Malam-malam tanak nasi;
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Buah cermai di dalam dulang,
Tepung digaul minyak sapi;
Anaknya ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-api?

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun;
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun?

ULASAN KOMSAS TINGKATAN 1


Cerpen - Kasut Kelopak Jantung
ANALISIS KOMSAS CERPEN
“KASUT KELOPAK JANTUNG”
Oleh: DR. GHAZALI LATEH

SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu sewakta beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah walaupun sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula. Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun kerana tidak membawa pakaian sukan. Oleh sebab itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”. Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah demi keselamatan kakinya. Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah supaya kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah. Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain. Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar dengan gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.

TEMA
Penghargaan seorang murid terhadap jasa guru yang ikhlas membantunya sewaktu murid itu miskin dengan menekankannya kepentingan memakai kasut.

NILAI MURNI DAN PENGAJARAN
1. Nilai murni à Menghormati orang yang lebih tua
Pengajaran : Kita mestilah menghormati orang yang lebih tua dan yang lebih berpengalaman daripada kita.
Bukti: Ahmad amat menghormati Cikgu Harun dan tidak pernah mengingkari arahannya.

2. Nilai murni -Keinsafan
Pengajaran : Kita mestilah sedar akan kesilapan yang kita lakukan supaya tidak mengulanginya.
Bukti: Cikgu Harun sedar bahawa dendanya agak keterlaluan dan dia tersentuh dengan keputusan Ahmad yang mahu berhenti sekolah kerana tidak mampu membeli kasut sekolah.

3. Nilai muri -Keikhlasan
Pengajaran : Kita mestilah ikhlas semasa memberikan hadiah kepada seseorang.
Bukti: Cikgu Harun tahu bahawa anak muridnya, Ahmad ikhlas memberikannya hadiah berupa sepasang kasut berjenama demi menghargai jasa gurunya.

4. Nilai muri -Ketabahan
Pengajaran :Kita mestilah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri.
Bukti: Ahmad dan ibunya tabah menghadapi kemiskinan dan dia sanggup mengambil keputusan untuk berhenti sekolah demi bekerja memetik cili untuk menampung perbelanjaan keluarga.

5. Nilai muri -Kesabaran
Pengajaran : Kita mestilah sabar menghadapi segala masalah dalam kehidupan.
Bukti: Cikgu Harun sabar menghadapi masalah anak muridnya, Ahmad yang tidak membawa kasut dan pakaian sukan.

6. Nilai muri -Kegigihan
Pengajaran : Kita mestilah gigih belajar supaya menjadi manusia yang berjaya.
Bukti: Ahmad gigih belajar tidak pernah ponteng sekolah walaupun miskin sehingga berjaya menjadi seorang pengurus besar syarikat kasut berjenama.

7. Nilai muri -Bertanggungjawab
Pengajaran :Kita mestilah memikul tugasan yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.
Bukti: Cikgu Harun seorang guru yang bertanggungjawab kerana dia memastikan semua anak muridnya memakai pakaian sekolah yang sesuai untuk menjalankan aktiviti bersenam di padang.

8. Nilai muri -Kesungguhan
Pengajaran : Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh demi mengubah kehidupan keluarga yang miskin.
Bukti: Ahmad belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjawat jawatan tinggi dalam sebuah syarikat kasut berjenama.

9. Nilai muri -Baik hati
Pengajaran : Kita mestilah menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukannya mengikut kemampuan kita demi mengurangkan beban mereka.
Bukti: Cikgu Harun membelikan Ahmad sepasang kasut sekolah dan sepasang uniform sekolah.



Tempang

Sinopsis

Hafizi seorang murid yang cacat. Dia tidak mampu bermain bola sepak dengan teman-temannya. Dia seorang yang pintar dalam pelajaran, menyebabkan Kamil selalu menghinanya. Pada satu hari, Kamil menolak Hafizi sehinggakan dia tersungkur dilantai. Raja ingin membalas, tetapi ditegah oleh Hafizi. Sikap Mei Ling yang menegur Kamil menyebabkan Kamil tidak berpuas hati. Pertengkeran tersebut terhenti apabila Cikgu Lee masuk ke kelas. Pada hari perkelahan, Kamil hampir lemas. Hafizi terjun ke dalam kolam dan menyelamatkan Kamil. Peristiwa tersebut menyebabkan Kamil insaf dan dia memohon maaf kepada Hafizi.

Nilai
Antara nilai murni ialah hemah tinggi, contohnya Hafizi tetap bersikap rendah diri walaupun daripada keluarga berada dan selalu dihina oleh Kamil. Selain itu keberanian, contohnya Hafizi sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan Kamil daripada lemas. Seterusnya baik hati, contohnya Raja selalu mendampingi dan memberi semangat kepada Hafizi. Akhir sekali tanggungjawab, contohnya Cikgu Ridzuan dan Cikgu Lee bersama-sama muridnya ketika pergi berkelah.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita jangan suka menghina atas kekurangan orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Kamil yang selalu menghina Hafizi janganlah diikuti. Selain itu kita perlu bersikap pemaaf, contohnya Hafizi memaafkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Kamil. Seterusnya guru hendaklah selalu memberikan motivasi kepada anak-anak muridnya, contohnya Cikgu Lee menekankan kepada anak muridnya akan kepentingan berusaha jika ingin berjaya. Akhir sekali kita perlu mengambil tindakan yang cepat, contohnya Hafizi cepat menyelamatkan Kamil daripada lemas.




Tukang Lama

Sinopsis

Sejak kembalinya Manas ke kampung setelah menamatkan kursus di sekolah Seni Bina, sambutan masyarakat terhadap Pak Talib terhadap kerja-kerja membina rumah semakin kurang. Orang sekarang tidak menyukai bentuk rumah berkelepak dua yang dibuat olehnya. Jika ada yang menjemput Pak Talib, hanya membina reban ayam. Hal ini menyebabkan isterinya Mak Lamah selalu meleterinya.

Hari itu dia berjaya menyudahkan membina reban kepunyaan Mamat. Setelah selesai kerja yang dilakukan selama empat hari, dia diberikan upah sebanyak RM 10.00, Jumlah tersebut menyebabkan dia terasa terhina terhadap kerjaya yang dipilihnya. Dia pulang dalam keadaan kecewa dan bimbang akan dimarahi oleh isterinya. Pada waktu malam, Mak Lamah memberitahu ada orang merisik anaknya, Si Timah. Apabila diberitahu calon menantunya ialah Manas, hati Pak Talib berbunga keriangan.

Nilai Murni
Nilai murni daripada cerpen ialah berdikari, contohnya Pak Talib meneruskan kerjanya sebagai tikang membina rumah. Selain itu tanggungjawab, contohnya Pak Talib bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarganya. Akhir sekali kasih sayang, contohnya Pak Talib dan Mak Lamah berasa gembira kerana anaknya Si Timah sudah dirisik oleh keluarga Manas.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu mengikuti perkembangan semasa untuk dihargai oleh masyarakat, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Talib yang kekal dengan reka bentuk lama dalam pembinaan rumah janganlah diikuti. Selain itu masyarakat perlu menghargai kerja berdasarkan kualiti dan masa yang diambil, contohnya yang ditunjukkan oleh Mamat dengan memberi upah sebanyak RM 10.00 setelah Pak Talib menyiapkan reban tidak patut dicontohi. Akhir sekali kita hendaklah bersikap baik dengan orang lain, contohnya walaupun Manas memberikan persaingan kepada Pak Talib, tetapi dia tidak pernah membenci lelaki itu.




Yuran

Sinopsis

Amin meminta wang sebanyak RM60.00 daripada emaknya, Mak Jah untuk membayar yuran sekolah. Mak Jah tidak dapat memberi kerana tiada wang. Di sekolah, Cikgu Arsad mendesak Amin membayar yuran sukan dan yuran PMR esok. Desakan itu membuatkan Amin berasa malu dan tertekan, lalu mengambil keputusan ponteng sekolah.

Ketika dia desang melihat permainan video, dia dilanggar dari arah sisi oleh seseorang, menyebabkan buku dalam begnya bertabur. Seorang wanita menjerit meminta pertolongan. Beberapa orang pemuda dilihatnya berlari-lari ke satu arah. Amin segera mengejar pemuda ditu dan berjaya menangkap lelaki itu. Anggota polis segera memberkas pemuda tersebut.

Wanita yang dibantu tadi menyoal Amin. Apabila dirinya dikatakan ponteng sekolah, Amin segera meninggalkan wanita itu. Apabila Amin tiba di rumah dan melihat Amin tidak membawa beg, Mak Jah tahu anaknya ponteng sekolah. Ketika Mak Jah sedang meleteri akan sikap Amin, wanita tadi muncul dengan keretanya. Wanita itu menceritakan hal yang sebenar kepada Mak Jah. Kemudian wanita tersebut menyerahkan sedikit wang sebagai membalas jasa Amin. Amin berasa terharu dan berjanji akan meneruskan cita-citanya.

Nilai Murni

Antara Nilai murni ialah keberanian, contohnya Amin berani menangkap pemuda yang meragut beg seorang wanita. Selain itu hemah tinggi, contohnya Mak Jah tidak segera menerima pemberian wang daripada wanita yang ditolong oleh anaknya, sebaliknya pada peringkat awal ditolak secara baik. Akhir sekali kesyukuran, sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada wanita menyerahkan sejumlah wang kepada keluarga Amin.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu memahami masalah yang ditanggung oleh orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Cikgu Arsad yang mendesak Amin membayar yuran tidak patut diikuti. Selain itu kita hendaklah mengutamakan pelajaran, contohnya yang ditunjukkan oleh Amin yang ponteng sekolah janganlah diteladani. Seterusnya kita seharusnya membalas jasa orang, contohnya wanita itu memberikan sagu hati kepada keluarga Amin kerana Amin pernah menolongnya.



Trauma Embah

Sinopsis

Untuk menjaga kesihatan, ibu memakan pelbagai jenis vitamin. Ibu berasa gembira apabila anak dan cucunya pulang ke kampung. Untuk mengisi masa terluang, ibu menjalankan perniagaan dari jam 3.00 petang hingga 6.00. Perniagaan berbentuk ”parti serbaneka” dijalankan tanpa asas perniagaan. Ibu belajar setakat darjah enam dan disuruh kahwin dengan abah yang bertugas sebagai guru.

Ketika muda, datuk bekerja sebagai penoreh getah. Manakala embah akan membantu mengutip getah susu. Embah tidak mengabaikan tugasnya membesarkan lima orang anak kandung dan empat orang anak tiri. Datuk meninggal dunia kerana sakit tua. Apabila datuk meninggal, embah dijaga oleh anaknya, mak cik penulis. Sejak embah tiada, ibu terasa kehilangan dan rumah embah dirobohkan.

Embah pulang ke kampung kerana rindukan kampung halaman. Kemudian embah ke Kuala Lumpur lagi dan tinggal di rumah anaknya. Apabila embah sakit, ibu berulang alik  ke Kuala Lumpur. Seterusnya, apabila suami mak cik meninggal dunia, embah dibawa pulang ke rumah ibu di kampung, setelah hampir 20 tahun tinggal di kota.

Ibu menjaga embah dengan penuh kasih sayang. Pada satu malam, embah mengigau dan menyebut ”budak itu”. Sebenarnya embah masih trauma tentang kematian dua anaknya dahulu;seorang berusia tiga tahun diserang demam panas dan seorang lagi berusia dua tahun terjatuh ke dalam kolam. Embah menyimpan penderitaan di dalam jiwa kerana datuk melarang embah menangis. Kesabaran ibu telah menginsafkan penulis untuk menjadi seorang anak yang dapat menjaga ibunya satu hari nanti.

Nilai Murni
Nilai murni cerpen ialah kasih sayang, contohnya ibu menjaga embah yang uzur dengan penuh kasih sayang. Selain itu berdikari, contohnya ibu tidak terlalu mengharapkan wang daripada suaminya, sebaliknya berniaga untuk menambahkan pendapatan. Seterusnya tanggungjawab, contohnya datuk bekerja sebagai penoreh getah untuk menyara keluarganya. Akhir sekali ketaatan, contohnya embah akur dengan kata-kata datuk dan tidak sesekali dia membantah.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menjaga ibu kita dengan penuh kasih sayang, contohnya ibu menjaga embah yang nyanyuk dengan penuh kasih sayang. Seterusnya kita hendaklah mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya ibu berniaga dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang untuk menambahkan pendapatan. Selain itu kita wajib mengutamakan pendidikan, contohnya yang ditunjukkan oleh datuk yang merang ibu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah janganlah diikuti. Akhir sekali kita perlu menjadikan pengalaman sebagai penduan hidup, contohnya penulis menginsafi akan pengorbanan ibunya menjaga embah dan berazam untuk menjaga ibunya dengan baik satu hati kelak.



Sepucuk surat daripada kawan

Sinopsis

Penulis berasa gembira apabila menerima surat daripada Abe. Penulis membaca surat itu sebanyak lima kali. Abe yang kini belajar di Kelantan memberitahu akan berpindah dan bersekolah di tempat penulis. Penulis menyambut kedatangan Abe di stesen bas. Petang itu penulis  dan Abe berjalan-jalan di sekitar Jalan Cenderawasih. Pada hari Sabtu, penulis dan Abe bersiar-siar di Berjaya Megamall, Kuantan selama lima jam.

Abe ditempatkan di kelas bersebelahan dengan penulis. Abe cemerlang dalam pelajaran Matematik. Pada satu hari, Abe mengadu sakit, lalu penulis membawanya pulang ke rumah. Ketika keputusan PMR mahu diumumkan, ibu bapa Abe membawanya pulang ke Kelantan. Abe meninggalkan penulis dengan sepucuk surat. Dalam surat itu Abe memberitahu keinginan untuk menjadi seorang pelakon dan Abe menulis tentang kesihatannya.

Belum sempat penulis habis membaca surat itu dan mengetahui penyakit yang dihidapi oleh Abe, adik penulis merampas surat tersebut. Penulis mengejar adiknya, tetapi adiknya mencampak cebisan surat itu ke dalam unggun api. Penulis terus tertanya-tanya tentang penyakit misteri Abe.

Nilai murni
Nilai murni daripada cerpen ialah baik hati, contohnya penulis melayan Abe dengan baik ketika Abe tinggal bersama-samanya. Selain itu berdikari, contohnya Abe tinggal bersama penulis, sedangkan keluarganya berada di Kelantan. Akhir sekali memanfaatkan waktu, contohnya sejak kedatangan Abe, penulis lebih banyak mengulang kaji pelajaran dan ke perpustakaan, tidak lagi bersama Zul dan Fadli.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menghargai kunjungan rakan lama, contohnya penulis berbesar hati dan melayan dengan baik kedatangan Abe dari Kelantan. Selain itu kita hendaklah bersikap terus terang, contoh yang ditunjukkan oleh Abe yang merahsiakan penyakitnya membuatkan penulis tertanya-tanya janganlah diikuti. Akhir sekali kita wajar membantu orang yang dalam kesusahan, contohnya penulis membawa Abe pulang ke rumah apabila Abe mengadu sakit.




Drama

Surat untuk Ina
Sinopsis

Zali memberitahu keinginannya mengenali pengawas bernama Zalina dengan  lebih lanjut. Jais mencadangkan agar Zali menulis sepucuk surat tanpa meletakkan nama dan dalam surat itu dinyatakan ingin berkenalan dan bersahabat. Badar memberitahu agar Zali menyatakan keinginannya berbincang tentang pelajaran. Jais terus mencadangkan agar meletakkan surat itu di dalam meja Zalina, kemudian melihat reaksi pengawas itu. Apabila Zalina muncul, Badar mengusik tetapi tidak dilayan oleh Zalina.

Zali telah meletakkan  surat di dalam meja Zalina. Kini dia sedang menanti reaksi daripada Zalina. Tiba-tiba Zalina mengajak Fatimah bertemu Cikgu Halil. Zali mengingatkan Badar supaya jangan mengaku dan Badar pula yakin Zalina tidak berani memberitahu hal itu kepada guru.

Apabila Cikgu Halil masuk, guru itu meminta semua murid mengeluarkan buku latihan dan karangan. Daripada pengecamannya, Cikgu Halil mendapati tulisan Zali mirip tulisan dalam surat yang diberikan oleh Zalina kepadanya. Setelah didesak, akhirnya Zali mengaku. Cikgu Halil tidak mengambil tindakan terhadap Zali kerana Zalina telah memaafkan kesalahan Zali.

Nilai murni
Nilai murni daripada cerpen ialah saling memaafkan, contohnya Zalina memaafkan kesalahan Zali yang menulis surat kepadanya kerana dia tidak mahu memanjang-manjangkan kisah tersebut. Selain itu rasional, contohnya Cikgu Halil mengambil tindakan yang tepat dengan mengesan tulisan penulis surat menerusi buku latihan dan karangan. Akhir sekali kejujuran, contohnya Zali akhirnya mengakui dia yang menulis surat kepada Zalina.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita perlu menyerahkan kepada guru untuk menyelesaikan masalah berkaitan disiplin, contohnya Zalina menyerahkan surat yang diterimanya kepada Cikgu Halil untuk guru itu mengambil tindakan. Selain itu kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain, contohnya Zalina memaafkan kesalahan Zali yang menulis surat kepadanya. Akhir sekali kita wajar memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah, contoh yang ditunjukkan oleh Zali, Jais dan Badar yang suka berborak kosong janganlah diikuti.



Arah ke mana

Sinopsis
Haji Pakir menegur sikap isterinya, Hajah Derisah yang memanjakan anaknya, Rohani. Bagi Hajah Derisah, anak daranya itu sudah besar dan tahu menjaga diri. Bagi Haji Pakir, terlalu memanjakan anak buruk padahnya. Walaupun Rohani sudah berjaya dalam pelajaran, tetapi ilmu agama perlu diberikan perhatian. Ketika suami isteri bertengkar, Rohani pulang. Haji Pakir melayan Rohani dengan baik tetapi Rohani bersikap biadap. Haji Pakir ingin tahu hala tuju Rohani hari itu, tetapi bagi Rohani ayahnya terlalu mengambil tahu hal peribadinya, malah sikap ayahnya menyekat kebebasannya dan berfikiran kolot. Haji Pakir membangkitan pergaualan Rohani yang kerterlaluan. Pertengkaran itu berakhir dengan Rohani mahu keluar dari rumah itu. Perbuatan Rohani yang terlibat dalam najis dadah telah menyebabkan dia meninggal dunia. Di tanah perkuburan, Haji Pakir dan Hajah Derisah mengakui kesilapan yang dilakukan oleh mereka dalam mendidik anak.

Nilai murni
Nilai murni menerusi drama ialah kasih sayang, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah teramat menyayangi anaknya, sebab itu keterlanjuran anaknya dalam kehidupan telah ditegur oleh bapanya. Selain itu keinsafan, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah insaf atas kesilapan mereka dalam mendidik anak sehinggakan anak mereka mati terjebak dalam najis dadah.

Pengajaran
Pengajaran daripada drama ialah kita perlu menghormati kedua-dua ibu bapa kita, contoh yang ditunjukkan oleh Rohani yang biadap terhadap ayah dan ibunya janganlah diikuti. Selain itu setiap ibu bapa hendaklah mengimbanginya antara akademik dan akhirat dalam mendidik anak, contoh yang ditunjukkan oleh Haji Pakir dan Hajah Derisah yang mengutamakan akademik dan kurang menekankan soal akhlak dalam mendidik Rohani janganlah dicontohi. Akhir sekali kita wajib mengakui ajal maut ketentuan Allah, contohnya Haji Pakir dan Hajah Derisah menerima ketentuan Ilahi bahawa anaknya sudah meninggal dunia.





Mendung Hitam Beralih Jua

Sinopsis
Pak Jusuh mengeluh apabila anaknya Jamilah meminta wang sebanyak RM75.00 untuk membayar yuran SPM, sedangkan pendapatannya sebagai nelayan tidak seberapa dan hutangnya di kedai Mutusami semakin  banyak. Mak Limah menegur sikap suaminya yang pernah menolak tawaran ke tanah rancangan. Akan tetapi bagi Pak Jusuh, nasib nelayan juga baik seperti Haji Dolah yang mempunyai rumah besar dan kereta. Ketika itu Mutusami datang dan meminta hutang daripada Pak Jusuh. Oleh sebab Pak Jusuh tidak mempunyai wang, radio miliknya menjadi cagaran.

Pak Seman datang bertujuan mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya untuk majlis kenduri doa selamat. Kemudia Pak Jusuh meluahkan kesusahan hidupnya. Pak Seman memujuk Pak Jusuh ke tanah rancangan agar hidupnya boleh berubah. Pak Jusuh bersetuju dan mereka berjanji untuk ke rumah tuk penghulu pada esok hari.

Nilai murni
Nilai murni daripada drama ialah baik hati, contohnya Pak Seman mempelawa Pak Jusuh ke tanah rancangan agar nasibnya lebioh baik. Selain itu kerajinan, contohnya Haji Dolah gigih berusaha sebagai nelayan menyebabkan nasibnya lebih baik berbanding Pak Jusuh. Seterusnya rasional, contohnya Mutusami tidak berterusan mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh. Akhir sekali semangat bermasyarakat, contohnya Pak Seman mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya yang akan mengadakan kenduru doa selamat

Pengajaran
Pengajaran daripada drama ialah patut merebut peluang yang baik, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Jusuh pada mulanya menolak ke tanah rancangan janganlah diikuti. Selain itu kita perlu mengamalkan sikap tolak ansur, contohnya Mutusami tidak lagi mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh. Seterusnya kita wajib mengamalkan sikap bermasyarakat, contohnya Pak Jusuh menerima undangan Pak Seman untuk ke rumah menantu rakannya itu yang akan mengadakan majlis kenduri doa selamat. Akhir sekali kita perlu memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya Jamilah mengisi masa terluang dengan melibatkan diri dalam kegiatan pertubuhan belia di balai raya kampungnya.




http://rosiah70.blogspot.com/2012/02/ulasan-komsas-tingkatan-1-2012.html