Monday, September 3, 2012

Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiah


Syair  Wasiat  Ayahanda  Siti  Zawiah


Ada kepada suatu hari,
Sakit saudagar laki isteri,
Adalah kiranya tujuh hari,
Tidak bergerak kanan dan kiri.

Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Katanya wahai cahaya mataku,
Tinggallah tuan buah hatiku,
Hampirlah mati gerangan aku,
Baiklah tuan tingkah dan laku.

Serta harta aku tinggalkan,
Tuan seorang yang menyukakan,
Sampai habis semua diterimakan,
Faedahnya akan diberikan.

Jikalau tidak anakku berakal
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Kerana harta tiada berguna,
Jikalau tidak akan sempurna,
Sekalian itu habislah hana,
Hanya tinggal badan merana.

Budi dan bahasa janganlah lupa,
Muliakan olehmu ibu dan bapa,
Mana yang datang padamu berjumpa,
Janganlah lambat tuan menyapa.

 Kerana adat orang berbeza,
Tiada memandang harta dan benda,
Tegur dan sapa itu yang ada,
Itulah penambah di dalamnya dada.

Maksud Syair:

Rangkap 1: Saudagar dan isterinya sudah seminggu sakit dan tidak ke mana-mana.
Rangkap 2: Saudagar merasakan ajalnya hampir tiba, lalu memanggil dan mencium kepala anaknya.
Rangkap 3: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya menjaga tingkah laku.
Rangkap 4: Saudagar mewasiatkan seluruh hartanya kepada anaknya.
Rangkap 5: Saudagar berpesan kepada anaknya supaya mengurus hartanya dengan bijak.
Rangkap 6: Jika harta tersebut tidak diurus dengan baik, ia kelak akan menimbulkan kesusahan.
Rangkap 7: saudagar berpesan kepada anaknya supaya berbudi bahasa dan memuliakan ibu bapa serta bersikap mesra terhadap orang lain.
Rangkap 8: Tingkah laku yang baik dan mesra adalah jauh lebih berharga berbanding harta.

Syair ini mengemukakan tema nasihat dan kata-kata terakhir seorang ayah kepada anaknya. Antara persoalan yang dimuatkan dalam syair ini ialah kesedihan ketika diambang maut, kasih sayang bapa kepada anaknya, kepentingan menghormati ibu bapa, kepentingan mengurus harta peninggalan dengan bijaksana dan kepentingan amalan budi bahasa sesama insan.